KES PENCULIKAN KANAK-KANAK


 

Sejak kebelakangan ini, kes culik atau cubaan menculik kanak-kanak sangat menggemparkan negara. Hanya dalam beberapa hari ini, telah berlaku beberapa kes di mana beberapa orang kanak-kanak cuba diheret dalam kereta, van bahkan motosikal untuk dibawa pergi namun ada yang berjaya meyelamatkan diri mereka. Kes ini menunjukkan ada trend kes penculikan yang dilakukan oleh sindiket terancang dengan tujuan tertentu yang tidak diketahui. Kejadian seperti ini meninggalkan trauma yang berterusan buat ibu bapa. Kanak-kanak menjadi sasaran untuk dijadikan korban sama ada mangsa pemerdagangan, penjualan organ, pemerkosaan, ugutan mahupun bunuh.

Anehnya, kejadian ini cenderung berlaku pada waktu siang, waktu orang bekerja, kawasan yang lapang dan kawasan perumahan. Walaupun risiko jenayah ini untuk ditangkap sangat tinggi namun kumpulan-kumpulan sindiket ini tetap berjaya melakukan seolah-olah mangsa culik telah lama diperhatikan dan diawasi setiap rutin hariannya. Isu ini sepatutnya menjadi bendera merah untuk dipertingkatkan sistem keselamatan yang boleh dilakukan seperti kekerapan rondaan polis yang mengawal, pemasangan cctv di lorong-lorong yang gelap. Perkara ini tidak boleh dibiar dengan menjadikan lebih ramai mangsa yang tidak berdosa ini kepada golongan yang tidak berhati perut. Sesuatu perlu dibuat dan langkah pencegahan mesti diambil dalam waktu terdekat ini. Penjenayah seperti mencabar pasukan keselamatan negara agar mengambil tindakan keras dan pintar mengatasi mereka. Jika modus operandi kumpulan penjenayah ini yang cukup licik dan dengan strategi yang ampuh, sehebat itu jugalah strategi yang perlu disusun oleh pasukan keselamatan mencegah kejadian ini daripada berlaku.

Masyarakat juga memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran rumah kediaman, kejiranan dan anggota masyarakat selamat. Kerjasama yang baik dan padu daripada anggota masyarakat dapat mencegah kejadian jenayah berlaku di mana-mana, terutama kes penculikan seperti ini. Anggaplah ia sebagai suatu tragedi negara, dan berhati-hati, berwaspada dan bersiap siaga adalah langkah terbaik mencegah jenayah ini daripada berlaku.

LANGKAH PENCEGAHAN OLEH IBU BAPA

Kes penculikan ini sudah tentunya menjadi perhatian buat para penjaga dan ibu bapa. Tidak ada individu lain yang mampu menjaga dan mengawasi pergerakan anak-anak melainkan ibu bapa mereka sendiri. Sehebat mana pun jagaan seorang penjaga itu tetap akan menjadi mangsa culik jika berlakunya kecuaian. Justeru, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sebagai langkah berjaga-jaga dan mencegah daripada berlakunya kes penculikan.

  • Memimpin Tangan Anak

Seorang ayah atau ibu mesti memimpin tangan anak-anak ketika diluar rumah terutama di bandar. Memimpin tangan bukan hanya untuk anak-anak yang masih kecil sahaja bahkan anak-anak yang berumur sekitar 12-13 tahun juga menjadi sasaran culik. Ibu bapa jangan pernah rasa malu untuk memimpin tangan tetapi takutilah jika tiada hari dan peluang lagi untuk melakukan perkara sedemikian apabila ianya telah terlambat. Bagi anak yang berumur bawah 6 tahun pula, mereka lebih aktif dan cergas. Seringkali melihatkan anak seperti ini cepat berasa rimas dan ingin melepaskan diri daripada dipimpin. Oleh itu, dinasihatkan kepada ibu bapa untuk mengikat tali atau apa-apa alat yang boleh disambungkan daripada tangan penjaga dan tangan anak tersebut. Cara ini lebih bebas buat anak-anak untuk berjalan dalam masa yang sama dapat diawasi oleh penjaga. Namun, cara ini hanya sesuai apabila berada di kawasan ‘indoor’ yang ramai orang. Jika di kawasan ‘outdoor’ sangat tidak sesuai kerana lebih terdedah kepada isu kemalangan.

Selain itu, ketika ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah hendaklah dihantar sehingga ke pagar sekolah dan begitu juga ketika menjemput mereka dengan menunggu di pagar sekolah agar keselamatan mereka ketika menjejak kaki ke luar sekolah lebih terjamin.

  • Pengawasan Ibubapa

Selain memimpin tangan, anak-anak sememangnya inginkan waktu bermain dan berjalan-jalan di taman. Ketika ini lah mereka bermain sepuasnya setelah separuh harinya berada di sekolah. Tidak sepatutnya bagi ibu bapa untuk menyekat mereka daripada bermain di luar namun turut sertalah bersama mereka. Dalam mengawasi keselamatannya, kebahagiaan juga dapat dikecapi. Memakaikan pakaian yang berwarna terang juga memudahkan urusan mengawasi pergerakan anak. Jika tidak mampu untuk bersama mereka cukuplah dengan memastikan bahawa anak-anak ini bermain dalam kumpulan yang besar. Kebiasaan kes culik ini berlaku setelah penjenayah ini melakukan beberapa kali pemerhatian. Jarang bagi mereka untuk meletakkan sasaran anak yang sering bersama ibu bapanya.

Namun, kecuaian mungkin berlaku dan tidak boleh dijangka. Dengan teknologi moden masa kini, hampir setiap kanak-kanak memiliki telefon pintar. Dengan ini, ibu bapa perlu sentiasa ‘on’ kan ‘gps’ yang ada pada telefon anak itu bagi memudahkan sistem penjejakan jika berlaku perkara yang tidak diingini. Terdapat banyak aplikasi yang boleh menjejak kedudukan telefon pintar yang lain jika dimanfaatkan sistem ‘gps’ ini.

  • Bersikap Lebih Terbuka

Seorang ibu kebiasaannya bersikap lemah lembut dan mudah untuk berkomunikasi dengan anak-anak. Komunikasi yang baik adalah apabila anak-anak selesa untuk bercerita perjalanan hariannya tanpa perlu memendamnya. Generasi masa kini bukan lagi seperti dahulu. Tidak mahu bercerita kerana takut akan dimarahi, dipersalahkan dan sebagainya. Kejadian seperti ini bukanlah untuk mendera namun tujuan pendidikan, tidak memenangkan anak dan mengajar mereka erti berdikari. Namun, kes penculikan generasi ibu bapa kita sangat kurang berlaku walaupun kawasan rumah tidak berpagar, berbasikal atau berjalan kaki sahaja ke sekolah berbatu jauhnya dan tidak sering diawasi oleh penjaga. Justeru, tanamkan sifat lebih terbuka dengan anak-anak agar mereka tahu dan sedar kepentingan ibu bapa disamping mereka dan secara tidak langsung mereka dapat merasakan kasih sayang menjurus hubungan yang lebih akrab.

Berkemungkinan daripada kisah atau cerita yang diberitahu, dapat dikesan aktiviti yang mencurigakan daripada pihak luar kepada anak-anak ataupun mungkin ianya berlaku kepada anak-anak yang lain. Dengan ini, ibu bapa tersebut akan lebih prihatin untuk memaklumkan hal ini kepada pihak sekolah dan ibu bapa yang berkaitan.

  • Tidak Berkongsi Maklumat Peribadi

Sudah menjadi suatu keperluan atau kemestian bagi seseorang itu baik seorang ayah mahupun ibu untuk memuat naik gambar atau video di media sosial. Hal ini kerana ianya berkaitan dengan kerja secara atas talian yang dilakukan ataupun dengan tujuan menyimpan secebis memori berbanding menyimpannya dalam telefon pintar yang akan memakan ruang ‘storage’ yang sangat banyak. Sungguhpun begitu, ibu bapa perlu berhati-hati dan berjaga-jaga daripada mendedahkan tempat tinggal, asset peribadi, lokasi semasa secara terperinci dan seumpama hal-hal yang privasi. Elakkan juga daripada mendedahkan hal demikian dengan membalas komen daripada ‘followers’. Jangan kerana satu komen membuka ruang dan peluang kepada jenayah penculikan.

DIDIKAN IBU BAPA KEPADA ANAK

Tidak cukup dengan usaha ibu bapa mengawasi sahaja, ibu bapa juga perlu bertanggungjawab untuk mengajarkan anak-anak agar tidak terlalu mesra dengan orang yang tidak dikenali. Justeru, terdapat beberapa perkara yang perlu diajarkan kepada anak daripada berlakunya kes penculikan antaranya:

  • Katakan ‘tidak’ kepada pelawaan dan menolak pemberian orang luar jika ibu bapa tidak berada disampingnya.
  • Menjerit atau menarik perhatian orang ramai jika berlakunya paksaan ataupun desakan daripada orang yang tidak dikenali.
  • Berkumpul di tempat yang ramai orang dan mudah dicari jika terlepas tangan apabila berjalan beriringan di tempat yang sesak. Hal ini sangat penting supaya anak tersebut tidak berjalan seorang diri dan mudah untuk mendapatkan bantuan daripada orang sekelilingnya.
  • Mengingati maklumat penting seperti nombor telefon ibu bapa dan alamat tempat tinggal. Ini adalah maklumat asas yang perlu diketahui oleh anak-anak jika mereka tersesat
  • Daftarkan anak di dalam kelas asas seni bela diri seperti taekwondo dan silat. Dengan ini, anak-anak lebih bertegas dengan pendirian mereka daripada mengikut orang yang tidak dikenali. Sekurang-kurangnya jika berlaku kekerasan mereka mampu untuk mempertahankan diri, melarikan diri dan memohon pertolongan.

DOA KELUAR RUMAH

Setelah ditelusuri langkah awal pencegahan daripada berlakunya kes penculikan, harus kita fahami bahawa yang memberikan perlindungan dan keselamatan hanyalah Allah SWT sahaja. Langkah yang telah dinyatakan diatas adalah sebagai usaha dan ikhtiar. Waaubagaimanapun, kita tetap dituntut untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT. Justeru, amalkanlah doa di bawah ini setiap kali melangkahkan kaki keluar rumah. Didiklah anak-anak juga untuk mengamalkan doa ini:

Doa Keluar Rumah

Manusia itu tidak akan pernah terlepas daripada penyakit lupa dan lalai. Oleh itu, amalkan lah doa ini sebagai perlindungan daripada bencana dan kes-kes yang tidak diingini berlaku. Sesungguhnya, Allah SWT adalah sebaik-baikpemberi bantuan dan perlindungan.

Wallahua’lam.

Post a Comment

Copyright © Afiz Latif. Designed by OddThemes & SEO Wordpress Themes 2018